Siapa kata saya berani sangat? Saya juga manusia – PM

Oleh: Kamilia Ali

BUKIT JALIL: Perjuangan Ismail Haniyeh demi rakyat Palestin sudah sebati dengan rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata rakyat Malaysia tidak perlu mempedulikan pandangan barat atau mana-mana negara yang menetapkan siapa yang perlu diperjuangkan.

“Kita tetap pertahan hak Hamas sebagai pejuang dalam gerakan membebaskan Palestin dan di Gaza.

“Siapa kata saya berani sangat? Saya hanya menjalankan tanggungjawab mewakili bagi pihak saudara-saudari sekalian.

“Saya ingin negara kita bersatu, maju dari segi teknologi tetapi saya juga manusia,” katanya dalam penyampaian pidato beliau sebentar tadi.

Seawal 5 petang, orang ramai membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin.

Berdasarkan pemerhatian Malaysia Bangkit, semangat solidariti peserta himpunan juga terserlah dengan masing-masing hadir membawa dan mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang.

Dalam masa sama, mereka turut membawa pelbagai sepanduk tertera kata-kata sokongan dan doa buat mereka yang terkesan situasi di Gaza.

Acara yang disusun pada malam ini adalah Pidato berkait Pembebasan Palestin, Tazkirah dan Tadabbur Ibrah Perjuangan Palestin disusuli solat Maghrib berjemaah.

Anwar turut menegaskan semua pihak perlu sama-sama bangkit membela dan memperjuangkan rakyat Palestin.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua badan bukan kerajaan serta parti-parti politik yang hadir pada malam ini bahawa kita berjaya menunjukkan perjuangan kita dan pada ketika ini kita tidak akan berundur,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kira-kira 20,000 orang dijangka hadir bagi menzahirkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin.

Himpunan Pembebasan Palestin antara lain bertujuan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Anda Mungkin Berminat