Oleh: Datuk A Kadir Jasin
PADA 28 Julai, media massa melaporkan yang Kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada Petronas untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Premier (Menteri Utama) Sarawak, Abang Johari Openg atau nama dan gelaran penuhnya, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg dilaporkan berkata, sebelum ini Sarawak memutuskan Petros akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli bermula 1 Julai lalu.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan adakah Dasar Petroleum Nasional dan Akta Pembangunan Petroleum 1973 masih atau tidak lagi berkuatkuasa di Sarawak?
Berikutan itu, ada pihak berpendapat adalah wajar persoalan tersebut diadili dan diputuskan oleh mahkamah.
Manakala ada analisis mengatakan Petronas akan kehilangan RM10 bilion hingga RM15 bilion pendapatan setahun sekiranya kehendak Kerajaan Sarawak itu dilaksanakan.
Boleh jadi banyak orang di Sarawak, Sabah dan Semenanjung tidak tahu atau tidak ingat lagi susah payah Almarhum Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan Petronas pada tahun 1974 dan Tengku Razaleigh Hamzah menguruskannya sehingga berjaya mengembalikan kedaulatan ke atas sumber petroleum negara.
Sebelum itu, industri minyak dan gas Malaysia dikuasai dan dieksploitasi oleh syarikat-syarikat minyak multinasional dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan Perancis.
Jadi adalah wajar diperingatkan yang sesiapa pun, sama ada di pusat atau negeri, yang mengancam kelangsungan angsa bertelur emas itu pasti akan dihukum oleh sejarah.
Kita adalah negara persekutuan (federation) iaitu gabungan negeri-negeri yang sedikit sebanyak ada hak atau autonomi masing-masing. Kita bukan kesatuan yang negeri-negeri anggota berkuasa mutlak.
September ini, Persekutuan Malaysia akan berusia 61 tahun. Dalam tempoh itu, beberapa krisis yang mencabar telah berlaku di Sarawak dan Sabah akibat perebutan kuasa.
Pada tahun 1965, Singapura keluar (atau dikeluarkan) daripada Persekutuan Malaysia.
Jadi adalah amat bijaksana dan berfaedah kalau pemimpin yang ada hari ini, di pusat dan negeri-negeri, khususnya Sarawak dan Sabah, boleh bersikap sederhana dan waras dalam membuat tuntutan dan bertolak ansur.
***Penulis adalah Tokoh Wartawan Negara dan sentiasa menulis mengenai isu semasa di media sosialnya