PMX panggil META tuntut penjelasan sekatan hantaran berkait Hamas

PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengesahkan pihaknya memanggil Platforms Inc (META) bagi menuntut penjelasan berikutan sekatan ke atas hantaran Perdana Menteri berkaitan insiden pembunuhan pimpinan Hamas.

META sebelum ini, bertindak menyekat beberapa hantaran di Facebook dan Instagram Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan ucapan takziah di atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Almarhum Ismail Haniyeh yang terbunuh di Tehran, Iran minggu lalu.

Malaysia Bangkit difahamkan, Anwar sendiri mahu mendengar penjelasan lanjut daripada META berhubung beberapa tindakan gangguan serta sekatan ke atas akaun media sosialnya itu.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, META juga memberitahu bahawa mereka agak keliru dengan sekatan itu, namun tiada penjelasan lanjut diberikan.

Semalam perkara sama berulang apabila pihak META, melakukan sekatan ke atas siaran langsung sempena Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil.

Semakan di akaun Instagram Anwar sebelum ini mendapati, tiga hantarannya yang mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan.

Gambar yang diturunkan itu memaparkan Anwar bersama pemimpin Hamas, turut disertakan dengan kapsyen ‘Dangerous individuals and organisations’.

Sehari selepas itu, Instagram pula memaklumkan hantaran gambar itu diturunkan kerana mengandungi ‘simbol, pujian atau sokongan ke atas orang dan pertubuhan yang kami takrifkan sebagai bahaya’.

Dalam pada itu, sebelum ini, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri telah menzahirkan kekesalan atas tindakan META yang menurunkan kandungan tersebut.

Anda Mungkin Berminat