Tujuh juta pelancong disasar sempena Tahun Melawat Selangor 2025

Oleh: Farah Faizal

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menyasarkan tujuh juta kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025 sekiranya pembinaan Sky City di i-City, dekat sini siap sepenuhnya sebelum akhir tahun hadapan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menara setinggi 54 meter dengan gelongsor kaca sepanjang 600 meter itu akan meningkatkan lagi industri pelancongan dan teknologi digital di kawasan Golden Triangle di Shah Alam.

“Mengikut perkiraan i-City, mereka menganggarkan peningkatan sehingga 70 peratus pelancong dengan adanya Menara SkyCity yang bakal memeriahkan lagi langit Shah Alam terutamanya pada waktu malam.

“Jika dibandingkan perjalanan i-City dari permulaannya, kini kawasan ini telah menjadi satu ibarat mini-city, dengan adanya kawasan kediaman, perhotelan, riadah mahupun rekreasi, pusat beli-belah, kawasan-kawasan komersial, perbankan dengan adanya Mercu Maybank, syarikat-syarikat telekomunikasi.

“Kesemua ini sudah pasti menjadi keinginan bagi masyarakat dan komuniti yang boleh menjadi one-stop-centre terutamanya bagi aktiviti- aktiviti perkhidmatan yang menjadi keperluan dalam kehidupan harian penduduk di negeri paling maju di Malaysia,” katanya dalam majlis pecah tanah pembinaan Sky City pada Selasa.

Tambahnya lagi, Kementerian Pelancongan Malaysia telah mengiktiraf kawasan tersebut sebagai kawasan pelancongan.

“City of Digital Lights di i-City turut diiktiraf oleh pusat-pusat rujukan pelancongan antarabangsa seperti CNN Travel yang meletakkan kawasan ini sebagai antara 25 tempat yang paling berwarna-warni di dunia yang berasaskan teknologi digital dan cekap dari segi penggunaan tenaga,” katanya.