Culik kanak-kanak perempuan 6 tahun kemungkinan pedofilia

Oleh: Syahirah Harish

JOHOR BAHRU: Kes penculikan kanak-kanak enam tahun di Eco Galleria, Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu, kini menjurus kepada kemungkinan ia bermotifkan isu pedofilia.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, siasatan diteruskan selepas penemuan pelbagai peralatan seks di kediaman suspek di Kulai, Johor.

Beliau berkata, pihaknya yakin dapat mengenal pasti motif sebenar penculikan itu dalam masa terdekat.

“Kita telah menjumpai petunjuk baharu dalam kes ini iaitu penemuan pelbagai peralatan seks dan fokus kita sekarang menjurus kepada penemuan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.

Kumar berkata, walaupun tangkapan semula dibuat terhadap suspek berusia 31 tahun itu mengikut seksyen yang baharu, siasatan menggunakan Seksyen 364 Kanun Keseksaan sebelum ini masih diteruskan.

Beliau turut menafikan laporan berhubung kes penculikan itu ditarik balik.

“Antara seksyen yang kita siasat ialah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang wang tebusan diminta.

“Tangkapan semula dilakukan selepas hasil soal siasat kita menjumpai beberapa peralatan seks yang mewajarkan siasatan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 diteruskan.

“Tiada laporan ditarik balik dan proses siasatan dijalankan seperti biasa,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa telah dihantar untuk pemeriksaan menyeluruh oleh doktor pakar dan telah disahkan sihat dan selamat.

Kumar turut menasihati agar ibu bapa sentiasa memantau pergerakkan kanak-kanak dan memastikan agar mereka sentiasa di dalam pemerhatian ibu bapa bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.