Ulasan | Mana pelaburan berbilion di Perlis?

Oleh: Amin Ahmad

Semalam berita melaporkan jawapan Menteri Besar Perlis di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mengatakan sebanyak RM2 billion jumlah pelaburan telah diluluskan oleh negeri. 

Dalam jawapan sama tidak dijelaskan secara terperinci apakah pecahan pelaburan yang dimaksudkan dan daripada pihak mana. Ini kerana jumlah berbillion-billion ini bukanlah baru disebut oleh beliau tetapi sudah sekurang-kurangnya tiga kali. Malah dalam satu ceramah, beliau pernah membayangkan pada masa akan datang Perlis tidak lagi perlu bergantung kepada kerajaan Persekutuan kerana adanya cukup pelaburan di negeri. 

Rakyat Perlis tentunya gembira jika benar ada pelaburan sebesar itu dalam tempoh kurang dua tahun kerajaan negeri dibentuk pasca pilihan raya umum ke-15. Namun, apakah ia benar-benar berlaku atau hanya gimik pengumuman? 

Saya sendiri pernah membangkitkan di Dewan Rakyat dalam satu sidang semasa penggal Parlimen ke-14 tentang pelaburan luar yang tidak masuk ke negeri Perlis sejak sekian lama berdasarkan data-data daripada MIDA. Jumlah pelaburan domestik juga terhad. 

Saya tidak terkejut jika senarai pelabur yang mungkin akan didedahkan adalah senarai lama pelabur berpotensi yang pernah disebut semasa pentadbiran terdahulu. Tidak ada aspek pelaburan baru dibawa oleh pentadbiran semasa. 

Tahun hadapan kerajaan Persekutuan akan membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13). Saya berharap masih belum terlambat untuk kerajaan negeri Perlis berunding membawa perkara-perkara baru oleh pentadbiran semasa yang benar-benar boleh merangsang ekonomi negeri berbanding hanya meneruskan rancangan-rancangan lama yang belum selesai. 

Menteri Besar mesti mengaku bahawa beliau sendiri sebenarnya tidak banyak berusaha mencari pelabur dan mengharapkan pihak lain untuk maksud tersebut. 

Beliau mesti bekerja lebih gigih untuk membuktikan bahawa pengumuman berbillion-billion berulang kali bukanlah gimik. Gimik pengumuman angka besar ini pernah dipakai oleh Menteri Besar Kedah sebelum ini dan beliau kini sudah berhenti melakukannya kerana sedar semakin besar pengumuman yang dibuat, semakin besar pembohongannya diselidik dan diketahui rakyat. 

Rakyat Perlis telah memberi mandat besar kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir Perlis. Mereka menantikan pembaharuan. 

***Penulis adalah Pengerusi Pakatan Harapan Perlis dan Pengerusi PKR Perlis

Anda Mungkin Berminat