JOHOR BAHRU: Mesyuarat Khas Pegawai Kanan Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN ke-45 (SOM-45th AMAF) bersetuju mempercepatkan pembangunan Wawasan dan Pelan Strategik ASEAN Pasca 2025 untuk Kerjasama Makanan, Pertanian dan Perhutanan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama pemimpin SOM ASEAN bersetuju untuk terus bekerjasama dalam membangunkan keterjaminan makanan di rantau tersebut.
Sesi pertemuan di antara Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup dengan pemimpin SOM ASEAN, Satvinder Singh telah membincangkan dua keberhasilan utama ekonomi atau Priority Economic Deliverables (PEDs) bagi sektor makanan, pertanian dan perhutanan.
“Antara dua PEDs Malaysia yang dibincangkan termasuk The Development of Outlook on Agriculture and Forestry dan the Development of Plan of Action on Food Security (2026-2030).
“Selain itu, kedua-dua mereka turut membincangkan tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh Malaysia untuk memperincikan kertas konsep berkenaan,” kata kenyatan yang dikeluarkan oleh KPKM.

Dalam pada itu, Arthur memaklumkan keperluan dalam menangani cabaran tersebut yang melibatkan pengukuhan keseluruhan rantaian bekalan kepada pengguna.
Ia termasuk meningkatkan skala keupayaan pengeluaran petani-petani kecil, bersandarkan kelebihan dan kekuatan negara anggota ASEAN, serta usaha mengharmonikan pemeriksaan ke atas keselamatan makanan.
Di akhir perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berkerjasama erat di dalam membangunkan PEDs Malaysia ke arah agenda pencapaian keterjaminan makanan di rantau ASEAN.







