ISRAEL: Bukan hanya tindakan tentera zionis Israel yang kejam terhadap penduduk Palestin tetapi termasuk juga dengan wartawan mereka.
Agensi berita Anadolu melaporkan, wartawan berhaluan kanan, Yehuda Schlesinger mengesyorkan rogol dijadikan dasar rasmi rejim zionis terhadap tahanan Palestin di penjara-penjara Israel.
“Satu-satunya perkara yang menjadi masalah bagi saya di sini adalah bahawa ia bukan dasar rasmi negara untuk mendera tahanan Palestin,” katanya dalam program televisyen di Channel 12 ketika ditanya apakah merogol tahanan sesuatu yang boleh diterima.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan media menunjukkan video tentera Israel merogol seorang tahanan Palestin di Penjara Sde Teiman di Padang Pasir Negev, selatan Israel.
“Kerana pertama sekali, mereka layak menerimanya dan ini balas dendam hebat yang kita perlu berikan kepada mereka.
“Ia sesuatu yang memalukan apabila kita tidak melakukannya secara teratur sebagai sebahagian daripada peraturan untuk menyeksa tahanan,” kata Schlesinger.
Beberapa laporan mengenai penderaan teruk terhadap tahanan Palestin timbul sejak permulaan serangan Israel terhadap wilayah Gaza pada Oktober tahun lalu.