Awie berbakat besar pimpin masyarakat Nenggiri – Zahid

GUA MUSANG: Sangat rugi bagi warga FELDA Perasu jika tidak memilih Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Nenggiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata  Azmawi seorang anak muda yang berpotensi dan berbakat besar untuk memimpin masyarakat di Nenggiri.

“Insya-Allah Awie (Mohd Azmawi Fikri) adalah calon kita, bagi kita menggambarkan Awie wakil kita.. wakil kita untuk melaksanakan perkara-perkara di Nenggiri, kalau Awie tak buat saya janji Awie satu penggal sahaja,” katanya ketika dalam Majlis Ramah Mesra “Peneroka & FELDA” Berpisah Tiada di FELDA Perasu.

Turut mengiringinya Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Ketua UMNO Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim.

Sebanyak 1,724 pengundi dari FELDA Perasu bakal mengundi pada PRK berkenaan, 17 Ogos nanti.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN yang diwakili Mohd Azmawi Fikri dan Mohd Rizwadi Ismail mewakili PAS.

Anda Mungkin Berminat