Polis ambil maklum insiden pergaduhan pada aksi final Kejohanan Bola Sepak MSSN Johor

MERSING: Polis telah menerima maklumat mengenai video tular mengenai insiden pergaduhan melibatkan pemain dalam sebuah kejohanan di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kejadian terjadi ketika perlawanan Kejohanan Bola Sepak Peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri (MSSN) Johor Tahun 2024.

“Insiden ini berlaku sewaktu permainan masih lagi berlangsung akibat perselisihan faham antara beberapa orang pemain kedua-dua pasukan.

“Namun, tiada kecederaan dilaporkan dan tiga pemain yang terlibat telah diambil tindakan tegas oleh pengadil perlawanan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, pihak polis turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video yang tular tersebut.

Terdahulu, tular sebuah video melibatkan pasukan MSS Batu Pahat dan MSS Johor Bahru yang berbalah selepas MSS Batu Pahat menjaringkan gol kedua perlawanan dan muncul sebagai juara dengan keputusan 2-1.

Seolah tidak berpuas hati dengan apa yang keputusan tersebut, penjaga gol MSS Johor Bahru bertindak menolak seorang pemain MSS Batu Pahat dengan kasar.

Tindakan itu menyebabkan pemain berkenaan bertindak balas sekali gus mencetuskan perbalahan antara pemain kedua-dua pasukan.

Insiden ganas tersebut membuatkan pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada dua pemain MSS Johor Bahru, sementara seorang lagi pemain MSS Batu Pahat turut mengalami nasib sama.

Anda Mungkin Berminat