Malaysia di landasan tepat capai sasaran pertumbuhan ekonomi meski hadapi cabaran – PM

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi, walaupun berhadapan cabaran termasuk isu-isu geopolitik yang berterusan dan risiko ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan mengambil berat tentang isu berkenaan dan akan terus menilai kesannya.

“Sekarang kita berada di landasan yang betul (untuk mencapai pertumbuhan ekonomi) tetapi kita juga menyedari geopolitik dan juga kesan antarabangsa luar terhadap ekonomi kita.

“Kami akan cuba menilai perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya ketika pelancaran Sidang Kemuncak Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 pada Isnin.

Menurut Laporan Daya Saing Inovasi (GII) 2023, Malaysia masih mengekalkan kedudukan negara pada tangga ke-36 daripada 132 buah negara dengan peningkatan skor keseluruhan kepada 40.9 ketimbang tahun 2022 (38.7).

“Ini sekali gus menjadikan Malaysia negara kedua paling inovatif selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan menengah tinggi (upper-middle income countries).

“Manakala, di peringkat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pula, Malaysia kekal berada di tempat kedua yang dilaksanakan menerusi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

“Secara khususnya Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS) telah berjaya mengkomersialkan 32 produk penyelesaian dengan penjanaan hasil jualan sebanyak RM88.4 juta, menubuhkan 13 tapak ‘sandbox’ dan mewujudkan 62 rakan rangkaian pemajuan inovasi, hanya dalam tempoh tiga tahun ia diperkenalkan,” jelasnya.