Remaja menyamar doktor, ada sejarah terima rawatan psikiatri

PETALING JAYA: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan polis akibat menyamar sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital di Serdang, dilaporkan mempunyai sejarah menerima rawatan psikiatri.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan remaja berusia 14 tahun itu mempunyai sejarah mendapatkan rawatan pada awal tahun sekitar bulan Mac.

“Remaja itu mempunyai sejarah menerima rawatan psikiatri, malangnya dia tidak menyusuli rawatan seterusnya. Ia sudah disahkan oleh keluarga sendiri dan kita akan rujuk kepada pihak polis bagi mendapatkan laporan berkenaan rawatan yang diterima oleh remaja ini.

“Dia juga dipercayai telah meninggalkan persekolahannya dan buat masa kini kami sedang merujuk kepada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) untuk pemantauan dan sesi kaunseling sebelum laporan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya pada sesi sidang media hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan remaja warga tempatan itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi di lobi Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang selepas mendapati individu tersebut menyamar sebagai seorang pegawai perubatan selama seminggu.

Polis turut merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital yang digunakan remaja berkenaan.

Siasatan awal polis mendapati suspek tersebut telah menceroboh serta mahu membantu menjalankan pembedahan di Hospital berkenaan.

Anda Mungkin Berminat