JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengadakan mesyuarat Kabinet pertamanya di ibu negara baharu, Nusantara, pada Isnin.
Beliau berusaha meyakinkan pelabur bahawa projek mega bernilai AS$32 bilion (RM142.712 bilion) itu berada di landasan betul sebelum beliau berundur pada Oktober nanti.
Bertahun-tahun selepas mengumumkan projek infrastruktur utamanya itu bagi meringankan isu kesesakan, banjir dan kepadatan penduduk di Jakarta, namun Ibu Kota Nusantara (IKN) tidak terlepas daripada pelbagai masalah termasuk kelewatan pembinaan dan kekurangan pelaburan asing.
Jokowi bersedia untuk melepaskan jawatannya selepas berkhidmat selama dua penggal, beliau memaklumkan semua menterinya bahawa ibu kota baharu itu menandakan mercu tanda bersejarah bagi Indonesia.
“Ibu kota baru Nusantara adalah kanvas yang boleh kita lakar untuk masa depan. Bukan setiap negara mempunyai peluang atau keupayaan membina ibu kota baharu daripada sifar,” kata beliau ketika bercakap dari Istana Negara baharu berbentuk helang di Nusantara.
Nusantara sedang dibina di dalam kawasan hutan yang luas di Pulau Borneo, kira-kira 1,200 kilometer dari ibu kota sekarang, Jakarta.
Tambah Jokowi, lokasi itu strategik dan akan menggalak pembangunan sama rata merentas ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Menurutnya, penduduk dan kegiatan ekonomi negara itu telah lama dikuasai oleh Pulau Jawa yang menyumbang 58 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Hampir kesemua 34 menteri Kabinet menghadiri mesyuarat itu, termasuk Menteri Pertahanan yang juga bakal Presiden, Prabowo Subianto yang akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober depan.
Pada masa ini, IKN berkemungkinan termasuk dalam 10 bandar terbaik untuk didiami di dunia dan mencapai “pelepasan karbon sifar bersih” kerana menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui.
Nusantara dijangka menjadi bandar pertama di dunia dengan populasi lebih sejuta orang.