PM Anwar jemput warga Johor hadir ‘Temu Anwar’ di UTM Skudai

Perdana Menteri mempelawa orang ramai terutama warga Johor dijemput menghadiri program dialog ‘Temu Anwar’ yang akan diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Ahad ini.

Melalui hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, program tersebut akan diadakan di Dewan Sultan Iskandar bermula pada pukul 2 petang.

Menurut beliau, sdeperti kebiasaan peserta yang hadir boleh bertanyakan soalan secara terus kepadanya.

“Ayuh warga Johor Bahru ikut serta dalam sesi Temu Anwar yang akan diadakan Ahad ini bersamaan 3 September bertempat di UTM Skudai.

“Seperti kelaziman, peserta yang hadir diberi ruang secara terus untuk bertanyakan apa jua soalan kepada saya.

“Insya-Allah, ruang ini kita gunakan sebaiknya dalam mencambah budaya wacana yang sihat dan segar,” katanya dalam hantaran tersebut.

Program ‘Temu Anwar’ merupakan acara dialog dicetuskan Perdana Menteri sejak beliau mula menjawat jawatan itu November tahun lalu.

Ia memberi ruang kepada masyarakat terutama anak muda mengutarakan soalan secara langsung kepada Perdana Menteri.

Bagi mereka yang berminat, pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web temuanwar.com.

Anda Mungkin Berminat