Tiada salah laku disiplin dua anggota polis ‘lepak’ bersama orang awam

Oleh: Shafira Aziz

PONTIAN: Polis mengesahkan tiada salah laku disiplin dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa lepak menikmati barbeku dan minum bersama beberapa orang awam seperti dalam video tular di sosial media.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shoffee Tayib berkata sebaliknya kedua-dua anggota tersebut sedang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah dan mendekati kumpulan yang sedang menikmati barbeku tersebut. 

“Salah seorang daripada mereka (kumpulan pekerja kilang) merupakan kenalan anggota tersebut maka mereka berbual untuk bertanya khabar sebentar selama lebih kurang 5 hingga 8 minit. 

“Selepas bertanya khabar, kedua-dua anggota tersebut beredar dan menyambung semula tugas rondaan cegah jenayah berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohammad Shoffee turut memaklumkan majikan dan pekerja kilang tersebut tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk memberi keterangan. 

Hasil semakan polis turut mendapati majikan telah mengemukakan permit pekerjaan yang sah serta dokumen yang lengkap sebagai pekerja asing. 

Namun, Mohammad Shoffee berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci sekiranya terdapat sebarang salah laku disiplin para anggota berkenaan. 

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 16 saat di laman sosial memaparkan dua anggota polis lengkap beruniform sedang duduk berbual bersama beberapa individu di sebuah lorong kawasan rumah kedai.