Pembantu peribadi pelakon dakwa dicederakan

Oleh: Shafira Aziz

GOMBAK: Seorang wanita mendakwa dirinya dicederakan dan diugut oleh majikannya di sebuah pejabat di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata mangsa merupakan pembantu peribadi bagi majikannya yang merupakan seorang pelakon.

“Mangsa telah diugut dan dicederakan oleh majikan bersama sepupunya menggunakan senjata di pejabat majikannya di Batu Caves.

“Kejadian berpunca daripada mangsa yang mencampuri urusan rumah tangga majikannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin turut memaklumkan mangsa telah mengalami kecederaan pada bahagian muka dan lengan disebabkan serangan tersebut dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 596 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk berhubung dengan pegawai penyiasat, Sarjan Shahreen Yasin di talian 018-2475864.

Selain itu, orang ramai turut boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 sekiranya mempunyai maklumat untuk disalurkan.

Anda Mungkin Berminat