KPN realisasikan hasrat reformasi perkhidmatan awam

Oleh: Kamilia Ali

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan mengutamakan pengukuhan struktur kementerian dan kompetensi sumber manusia bagi merealisasikan hasrat reformasi perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Azman Mohd Yusof berkata, beberapa fungsi bahagian telah dimantapkan dengan penyatuan beberapa bahagian bagi mendukung gerak kerja KPN.

“Manakala bagi pusingan kerja (job rotation) pula, ia melibatkan pengurusan tertinggi di kementerian terlebih dahulu bagi meningkatkan kebolehan dan kecekapan pengurusan tertinggi dalam memimpin pasukan masing-masing.

“Selain itu, perancangan pembangunan sumber manusia juga akan menyusul dengan memberi fokus kepada kompetensi fungsional.

“Perancangan itu memastikan warga KPN sentiasa berilmu, kompeten dan prestasi sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, penambahbaikan proses kerja (bussiness process reengineering) juga akan diberi keutamaan dengan membawa perkhidmatan terus kepada rakyat tanpa mereka perlu hadir ke premis KPN.

Pada 16 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan berkenaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mengandungi semangat reformasi perkhidmatan awam yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat