Oleh: Kamilia Ali
KELANTAN: Tokoh Penyair Peradaban Kelantan 2016, Darma Mohammad, yang nama sebenarnya Daud Mohammad, telah meninggal dunia pada usia 76 tahun di Klinik Kesihatan Pasir Mas sekitar pukul 9 pagi tadi.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya setelah mengalami sesak nafas.
Menurut anaknya, Dr. Ahmad Aizzuddin, 33, bapanya mengalami sesak nafas sejak malam sebelumnya dan dibawa ke klinik oleh ahli keluarga.
Namun, setelah tiba di klinik, beliau tidak sedarkan diri dan terpaksa diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun ajalnya telah tiba.
“Bagaimanapun ajalnya sudah tiba. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.
Ahmad Aizzuddin juga menyatakan bahawa bapanya tidak menghidap penyakit serius selain darah tinggi dan masalah buah pinggang yang masih pada tahap awal.
Walaupun begitu, ayahnya tetap aktif menulis sehingga akhir hayatnya, walaupun kebelakangan ini kelihatan letih dan lebih banyak berehat.
“Ayah sangat cintakan dunia penulisan dan sering menggalakkan kami tujuh beradik menulis dalam apa jua bidang diceburi namun tiada mengikut jejak langkahnya berkecimpung dalam dunia sastera,” katanya lagi.
Sementara itu, memetik laporan Berita Harian, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Khanisah Abdul Rahim, 70, dan tujuh anak.
Difahamkan, jenazahnya akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Tok La, Pasir Mas, Kelantan.
Darma Mohammad, lulusan Universiti Malaya (UM), mula dikenali sebagai penulis sejak dekad 1970-an dan aktif dalam penulisan sajak. Antara kumpulan puisinya ialah “Gernyut Nafas,” “Janjang Iktikaf,” “Percikan Pelangi,” “Rintik-Rrintik Huruf,” dan “Ufuk Fikir.”
Beliau juga menulis novel seperti “Merinci Ufuk,” yang memenangi Hadiah Khas Peraduan Menulis Novel GAPENA-Yayasan Sabah 1989, dan novel remaja “Menjaras Ribut,” yang menerima Hadiah Penghargaan Peraduan Menulis Novel Remaja.
Justeru itu, kecemerlangannya dalam sastera diakui dengan Anugerah Karyawan Kelantan Bahagian Puisi, manakala karya terbarunya, “Kerdip,” yang diterbitkan tahun lalu, menyampaikan pesan hikmah ulama besar Turkiye, Bediuzzaman Said Nursi.
Baca juga: