Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: UMNO tidak perlu membuktikan siapa lebih Melayu kerana parti keramat itu sudah lama berbudi dalam memperjuangkan bangsa Melayu.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ketika PAS dan BERSATU masih berkhayal dengan imaginasi perjuangan masing-masing UMNO telah berjaya membina institusi Islam yang konkrit.
“Dalam masa PAS berkhayal dengan negara Islam yang abstrak, UMNO telah membina institusi Islam yang konkrit dari Bank Islam hingga universiti Islam.
“Dalam masa BERSATU berkhayal dengan imaginasi perjuangan Melayu versi mereka, UMNO sedang mengangkat martabat Melayu ke persada dunia.
“Hakikatnya, UMNO tidak perlu membuktikan siapa lebih Melayu. Kita adalah perjuangan Melayu itu sendiri,” katanya.
Noraini berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, Noraini menegaskan, kini bukan lagi masa untuk membuktikan siapa lebih Melayu dan juara orang Melayu kerana retorik perkauman hanya akan merosakkan masyarakat.
“Kita sering mendengar tuduhan bahawa politik Melayu dan Islam sedang mengalami kemerosotan, bahawa suara Melayu dan Islam semakin dipinggirkan.
“Ada pihak yang mendakwa kerjasama UMNO dalam kerajaan perpaduan adalah pengkhianatan kepada bangsa Melayu dan agama Islam. Kita perlu sedar retorik perkauman yang melampau hanya akan merosakkan fabrik sosial masyarakat kita,” katanya.