Polis tidak terima laporan kes cubaan larikan budak di Kuantan

Oleh: Shafira Aziz

KUANTAN: Polis masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian cuba melarikan kanak-kanak yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mesej tersebut telah tular yang memberi peringatan kepada orang ramai mengenai kejadian itu di Taman Tas dan Taman Tas Ria dekat sini.

“Setakat kenyataan ini dikeluarkan, pihak polis masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian berkenaan dari individu atau mana-mana pihak yang terlibat.

“Sekiranya ada individu atau saksi yang melihat atau mempunyai maklumat bagi membantu siasatan, boleh tampil ke mana-mana balai polis untuk menyalurkan maklumat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, pihak polis turut menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang penyebaran maklumat yang tidak betul hingga boleh mencetuskan kegusaran orang awam.

Terdahulu, tular hantaran mesej yang menyeru ibu bapa untuk mengambil anak dari sekolah tepat pada waktunya untuk mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.

Ia kerana mesej tersebut mendakwa terdapat dua kes cubaan menculik dan menyamar untuk melarikan pelajar yang baru pulang dari sekolah.

Anda Mungkin Berminat