Muhyiddin Perlu Contohi Anwar Bersikap ‘Gentleman’

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan untuk bersikap ‘gentleman’ dengan menerima keputusan pernah dibuat sebelum ini, di mana Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melantik dirinya sebagai Perdana Menteri (PM) selepas Langkah Sheraton.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana sikap itu seharusnya dijadikan ikutan sepertimana yang ditonjolkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau menjadi Ketua Pembangkang semasa Langkah Sheraton untuk menerima keputusan yang dibuat oleh YDPA.

“Selepas sudah putus Langkah Sheraton, Tun Dr Mahathir Mohamad diganti dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kemudian, Tan Sri Muhyiddin diganti dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, saya tanya Anwar sebagai Ketua Pembangkang, saya pula Timbalan Speaker ketika itu, bila jumpa di Parlimen saya tanya.

“Anwar kata Pakatan Harapan (PH) akan menerima keputusan YDPA sudah buat. ‘Gentleman’ lah tu. Selepas itu, lawanlah masa Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 pada Khamis.

Justeru, beliau yang juga Menteri Undang-Undang menasihatkan bekas PM itu untuk menunjukkan sikap sama dengan menunggu penggal PRU15 tamat dan kembali ke gelanggang PRU16 jika mahu kembali ke Putrajaya.

Azalina turut mendedahkan, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah begitu sabar memanggil semua Ahli Parlimen untuk mengetahui pendirian masing-masing, walaupun ketika itu Muhyiddin sudah dipilih menjadi PM.

“Saya tengok Tuanku tubuh berapa banyak kerajaan, PM berapa banyak kena tukar. Sudah bagi SD (akuan berkanun) pun Tuanku tetap panggil sorang-sorang tanya betul ke sokong, adakah kena gertak, ada arahan kah?

“Dia duduk rajin tanya pelan-pelan, saya pun tak pernah lihat macam itu. Punya lah nak jaga sangat supaya Tuanku tak melebihi kuasa yang diberikan kepadanya,” katanya.

Anda Mungkin Berminat