Perbincangan Daftar Perkahwinan Pelarian Warga Asing Ditangguh

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Perbincangan pendaftaran perkahwinan pelarian warga asing yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditangguh pada hujung tahun ini.

Perkara itu dikemukakan melalui kertas cadangan secara bersama membabitkan JAKIM dan MKN ketika mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-72 pada Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kertas cadangan itu dikemukakan selepas mengambil kira kewujudan kira-kira 190,000 pelarian di negara ini termasuk dari Rohingya, Syria dan Palestin.

“Apabila pelarian ini berkahwin, tidak mempunyai dokumen, seterusnya mempunyai anak dan menetap di negara ini, ia akan menimbulkan masalah sosial.

“Atas sebab itu kita rasa ada keperluan untuk pastikan perkahwinan mereka didaftarkan di Malaysia. Apabila perkahwinan ini didaftarkan, mereka ini layak terima sesuatu keistimewaan,” katanya selepas mesyuarat itu.

Mengulas mengenai penangguhan itu, Mohd Na’im berkata, timbul isu sensitif khususnya membabitkan konteks keselamatan selepas ulasan dan pembentangan dilakukan.

“Kertas cadangan itu ditangguhkan untuk diharmonikan, lihat pada aspek keselamatan dan akan dibawa semula nanti.

“Sebarang cadangan dikemukakan di peringkat MKI akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenan, selepas itu ia akan dapat kuasa tertinggi berkaitan dengan isu agama Islam,” katanya.

MKI dirasmi dan dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Hotel Mandarian Oriental, Kuala Lumpur pada Jumaat yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anda Mungkin Berminat