Oleh: Hanim Nadia
JOHOR BAHRU: Seorang wanita sanggup menipu keluarga kononnya diculik semata-mata mahu bermalam dengan rakan lelaki di Rompin, Pahang.
Kegiatan itu terbongkar selepas Polis Daerah Mersing menemukan wanita berusia 24 tahun itu kira-kira jam 2 petang di Tanjung Gemok, Rompin.
Ketuanya, Superitenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan berhubung seorang wanita berusia 24 tahun disyaki dilarikan lelaki tidak dikenali sekitar jam 5.23 petang, Khamis.
“Gerakan mencari mangsa dijalankan membabitkan pelbagai elemen dan hasil maklumat orang awam, wanita berkenaan telah ditemukan dalam keadaan selamat di kawasan Rompin.
“Siasatan mendapati mangsa telah memberikan maklumat palsu kepada ahli keluarganya dengan menyatakan diculik kerana mahu bermalam dengan rakan-rakannya di kawasan mangsa ditemui,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Abdul Razak berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati wanita terbabit positif dadah jenis methamphetamine.
Tambahnya, dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 24 dan 26 tahun yang bersama wanita tersebut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan permohonan reman kepada ketiga-tiga tangkapan dibenarkan selama tiga hari sehingga Isnin,” katanya.