Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Insiden lubang benam (sinkhole) yang terjadi di ibu kota baru-baru ini telah menimbulkan kegusaran orang ramai khususnya penduduk Kuala Lumpur.
Lebih membimbangkan, ramai individu tidak bertanggungjawab mula mengeluarkan teori yang menyatakan Kuala Lumpur seolah sedang menanti masa untuk runtuh menyembah bumi.
Namun, masyarakat perlu memahami terlebih dahulu insiden yang menimpa negara sebelum membuat kesimpulan melulu hingga mencetuskan kebimbangan orang lain.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM), Dr Elanni Md Affandi, insiden lubang benam terjadi di kawasan yang didasari oleh batu kapur.
“Namun, masih menjadi satu persoalan sama ada berlaku kaviti (ruangan kosong) di kawasan batu kapur di bawah Kuala Lumpur ini hingga mengakibatkan insiden tersebut terjadi.
“Secara amnya, agak sukar untuk membuat kesimpulan sama ada ia ada kaitan dengan insiden tersebut kerana lokasi kejadian tidak berada di atas permukaan batu kapur,” katanya dalam segmen Ruang Bicara Bernama TV pada Selasa malam.
Beliau turut menekankan bahawa siasatan lanjut dan penyelidikan baharu perlu dilakukan untuk mendapat keputusan sama ada benar atau tidak berlakunya kaviti batu kapur di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang wanita warganegara India, Vijayaletchumy, 48 telah terjerumus ke dalam tanah mendapan di Jalan Masjid India ketika dalam perjalanan mahu ke kuil berdekatan kira-kira 8 pagi.
Susulan itu, pelbagai agensi terdiri daripada polis, bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam telah digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ke-6 hari ini.
Operasi SAR hari ini difahamkan bermula dengan perbincangan antara lain berkaitan teknik, kaedah dan penugasan selain kerja survei oleh Jabatan Mineral dan Geosains melibatkan lokasi dari pintu gerbang Masjid India ke hadapan kawasan masjid.