PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung sementara pergerakan kakitangan merentasi Semenanjung Gaza selepas kenderaan mereka terkena 10 das tembakan sewaktu menghampiri pusat pemeriksaan Israel.
Agensi bantuan PBB, Program Makanan Dunia (WFP), dalam satu kenyataan berkata, konvoi dua kenderaan yang tertera tanda bantuan, jelas ditembak berulang kali oleh Israel ketika mendekati pusat pemeriksaan di jambatan Wadi Gaza pada 27 Ogos lalu.
Peluru itu telah terkena pada salah satu kenderaan, tetapi tiada pekerjanya yang dilaporkan cedera.
Setakat ini, Israel masih belum menjawab dakwaan berkenaan.
“Walaupun ia bukan isu keselamatan pertama ketika perang, ia adalah kali pertama kenderaan WFP ditembak secara langsung berhampiran pusat pemeriksaan, biarpun sudah mendapat pelepasan yang diperlukan,” kata WFP.
PBB ketika ini sedang bersiap sedia untuk memberi vaksin kepada kira-kira 640,000 kanak-kanak di Gaza selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan seorang bayi berusia 10 bulan dikesan lumpuh akibat virus polio jenis 2.
Lebih 40,000 orang terkorban sejak serangan Israel ke Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.