‘Raja Bomoh’ akan dipanggil untuk konsultasi akidah

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan diminta untuk memanggil ‘Raja Bomoh’ yang dilihat hadir untuk memberi tawaran membantu mencari mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Naim Mokhtar berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai kegelisahan umat Islam mengenai kehadiran Ibrahim Mat Zain atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Raja Bomoh’ itu.

“Saya telah meminta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk memanggil individu tersebut untuk segera memberi nasihat tentang batas-batas akidah dan iman.

“Dia turut diminta untuk tidak terjebak dalam amalan yang membawa kepada penghinaan kepada agama Islam,” katanya dalam kenyataan.

Naim turut menambah sebelum ini, Ibrahim pernah didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan atas pelbagai kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan turut telah memerintahkan individu tersebut menjalani konsultasi akidah di bawah pengawasan pihak tersebut.

Dalam pada itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan apa-apa aktiviti ritual yang bertentangan akidah Islam.

Anda Mungkin Berminat