Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak termasuk pembangkang untuk tidak mempersoal siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tegas beliau, tindakan di bawah Akta Hasutan terhadap Presiden BERSATU itu dibuat berdasarkan laporan polis oleh pihak istana.
“Anda langgar peraturan, anda terlanjur, anda yang perlu hadapinya. Jangan gunakan ini sebagai politik.
“Laporan dibuat (terhadap Muhyiddin), polis ambil laporan daripada Istana Pahang dan dalam kes lain oleh Istana Selangor dan diambil tindakan oleh Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Suria Madani, di Tapak Pembinaan Projek Rumah MADANI, Taman Desa, Kuala Lumpur pada Khamis.
Beliau membidas kenyataan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menuduhnya dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan hipokrit kerana mempertahankan penggunaan Akta Hasutan terhadap Muhyiddin.
Anwar berkata, beliau tidak menjawab sebarang dakwaan sebaliknya mengarahkan menteri Kabinet untuk menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis untuk soal siasat dan disusuli dengan pendakwaan.
Selasa lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan menghasut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, berhubung ucapannya beberapa minggu sebelum itu di FELDA Perasu, Kelantan, pada 14 Ogos lalu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Berdasarkan transkrip yang dilampirkan pada kertas pertuduhan, dakwaan terhadap Muhyiddin adalah atas kenyataannya ketika dia menyorot mengenai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini tidak memanggilnya untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu walaupun mendakwa mempunyai sokongan 115 Ahli Parlimen.