Oleh: Shafira Aziz
FILEM Takluk: Lahad Datu arahan Zulkarnain Azhar adalah sebuah karya yang mempersembahkan aksi yang mendebarkan sepanjang durasi lebih dua jam.
Sebagai filem tempatan yang menampilkan bintang terkenal seperti Syafiq Kyle, Fikry Ibrahim, Kamal Adli dan Anding, ia menawarkan pengalaman sinematik yang penuh dengan ketegangan, emosi dan aksi yang mendebarkan.
Filem tersebut mengisahkan pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditugaskan untuk menakluki semula kawasan Batu Jugar dan Kampung Air yang telah ditawan oleh Gerakan Militan Nusantara (GMN).
Pasukan militan tersebut berada di bawah pimpinan Raja Iskandar, watak antagonis yang dilakonkan oleh Eman Manan.
Bagi yang pernah menonton filem seperti Air Force the Movie: Selagi Bernyawa, Polis Evo 2, dan Coast Guard Malaysia: Ops Helang, filem Takluk: Lahad Datu mungkin terasa akrab dengan elemen-elemen dari filem-filem tersebut.
Namun, keunikan Takluk: Lahad Datu terletak pada penambahbaikan yang dibawa oleh Zulkarnain, menjadikannya antara karya terbaik arahan beliau setakat ini.
Menerusi hantaran Facebook oleh Tuan Amir Insani di grup Movie Addict MY, dia berpendapat bahawa sinematografi, pemandangan kampung Batu Jugar dan kawasan kepulauan dalam filem tersebut dipaparkan dengan indah, memberikan latar belakang yang memukau untuk aksi yang berlangsung.
“Audio dan dialog juga diselaraskan dengan baik, mencipta suasana yang mendebarkan dan menguatkan intensiti filem tersebut.
“Pelakon utama filem berkenaan, Syafiq Kyle yang memainkan watak sebagai Deputi Superintenden Zamri, seperti biasa, tidak mengecewakan dengan karismanya yang kuat.
“Fikry Ibrahim, Kamal Adli, dan Anding juga memainkan peranan mereka dengan cemerlang, menambahkan warna kepada filem tersebut, masing-masing sebagai Inspektor Saiful Zaini, Deputi Superintenden Jailani dan Deputi Superintenden Maznan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Tambahnya, babak-babak ‘gore’ yang dihidangkan juga cukup mengerikan dan tidak sesuai untuk kanak-kanak, memandangkan filem tersebut diklasifikasikan untuk tontonan 16 tahun ke atas.
Menerusi video pengulas filem di aplikasi TikTok, Hadamproject pula, dia berkata bahawa filem tersebut merupakan antara filem buatan Malaysia yang sangat berkualiti dan berbaloi untuk ditonton.
“Saya menggemari bahagian ‘action’ dalam filem tersebut, kerana ia adalah antara yang terbaik jika ingin dibandingkan dengan filem ‘beruniform’ yang lain.
“Bahagian tembak-menembak di kawasan kelapa sawit dalam filem itu juga kelihatan seperti nyata dengan adanya ‘special effect’ kesan tembakan di semua bahagian, terasa seperti penonton dapat mengikut aksi di filem tersebut dengan rapat,” katanya dalam video tersebut.
Selain itu, filem Takluk: Lahad Datu berjaya menyusun jalan ceritanya dengan baik, memaparkan bagaimana PDRM mengendalikan situasi pengganas dan bagaimana Pasukan Khas menyusun strategi menentang musuh.
Elemen emosi, terutama babak kekeluargaan, walaupun hanya sebagai ‘filler’, mampu menyentuh hati, menggambarkan sokongan rakan-rakan sejawat ketika menghadapi cabaran keluarga.
Secara keseluruhan, Takluk: Lahad Datu adalah sebuah filem yang berjaya mencapai jangkaan dan sangat disyorkan untuk ditonton, terutama sempena Hari Kebangsaan.
Filem itu bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga berfungsi sebagai peringatan kepada penonton tentang pentingnya semangat patriotisme yang harus sentiasa wujud dalam diri.
Penonton diingatkan bahawa mempertahankan tanah air bukan hanya tanggungjawab pasukan keselamatan, tetapi juga setiap warganegara yang cinta akan negara.
Semangat tersebut harus disemai dan dipupuk dalam kehidupan seharian, agar rakyat sentiasa bersedia untuk mempertahankan Malaysia daripada sebarang ancaman, baik dari dalam mahupun luar.
Ia merupakan satu lagi peningkatan yang membanggakan daripada Zulkarnain Azhar, yang berjaya menghasilkan sebuah karya aksi yang berkualiti dan rata-rata penonton memberi ‘rating’ filem tersebut sebanyak empat daripada lima bintang.