SEPANYOL: Jalan di bandar Bunol, Timur Sepanyol dibanjiri dengan warna merah selepas para pengunjung melemparkan tomato antara satu sama lain dalam pertempuran sempena festival Tomatina pada Rabu.
Kira-kira 22,000 peserta yang memakai pakaian serba putih dipercikkan dengan pulpa tomato selepas ‘bertempur’ dalam festival itu.
Memetik Reuters, sebanyak tujuh trak membawa lebih 150 tan tomato diberikan kepada peserta festival berkenaan.
Pelawat juga boleh menyertai festival tersebut dengan yuran penyertaan sebanyak AS$16.70 (RM72.25) manakala penduduk Brunol didaftarkan secara percuma.
Pelancong dari Australia, Taylor berkata dia dan rakannya sanggup datang ke Sepanyol hanya untuk menyertai festival tersebut.
“Kami sangat menyukai tomato! Itulah anatara sebab kami memutuskan untuk datang dan menikmati festival ini,” katanya.
Selain itu, pengunjung dari Kenya, Senam, menggambarkan festival tersebut sebagai ‘indah, kreatif dan menakjubkan.
Pertarungan dalam festival Tomatina yang berlangsung selama sejam itu bermula dengan nyalaan bunga api apabila seorang peserta berjaya memanjat tiang dan merebut daging ‘ham’ yang tergantung di atas tiang tersebut.
Selepas ‘pertempuran’ tamat, pasukan pembersihan akan mulai membersihkan kawasan itu dan ia akan kelihatan berkilau kerana semula jadi tomato yang berasid.
Menurut laman web rasmi festival Tomatina, perayaan tersebut bermula semasa persengketaan yang berlaku pada tahun 1945.
Ia bermula ketika anak-anak muda yang mencuba untuk melihat perarakan dengan jarak dekat hingga menjatuhkan salah seorang peserta.
Kemudian, beberapa orang mulai memetik tomato dari gerai berdekataan sebagai bukti memberontak sementara polis cuba untuk mengawal keadaan.
Tahun berikutnya, para belia di situ ‘melakonkan semula’ pertengkaran itu dengan membawa tomato mereka sendiri.
Namun, festival ini pernah diharamkan pada tahun 1950-an dibawah pentadbiran diktator, Jeneral Francisco Franco namun disambung semula pada tahun 1959 dengan peraturan terbaharu.
Antara peraturannya termasuk membaling tomato yang sudah lembik (terlebih masak) dan hanya tomato sahaja dibenarkan untuk dibaling (barangan lain tidak dibenarkan).