Oleh: Hanim Nadia
PERAK: Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), Perak satu kebanggaan bumiputera dalam mengendalikan projek industri berteknologi tinggi.
Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dikendalikan Permodalan Nasional Berhad (PNB), KIGIP merupakan sesuatu yang baru di rantau ini dan satu-satunya berteknologi tinggi hijau yang ulung di Asia Tenggara.
“Kita mahu projek ini dijalankan sebagai satu contoh di mana syarikat utama bumiputera boleh kendalikan dengan sebaiknya, dan tentunya juga melibatkan penyertaan bukan bumiputera.
“Tetapi ini satu-satunya projek raksaksa high tech, hijau yang dikendali oleh syarikat di bawah payung PNB dan ini bagi saya suatu perubahan dan peralihan yang sangat bermakna bagi kepentingan masyarakat bumiputera dan bagi negara Malaysia,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis pecah tanah KIGIP, Perak pada Jumaat.
KIGIP yang terletak di utara Perak adalah projek taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama dengan pembangunan meliputi beberapa fasa termasuk pembinaan kapasiti pembekalan air dan lebuh raya.
Dalam pada itu, Anwar mahu projek tersebut dikendalikan tanpa menyisihkan penduduk setempat daripada menyertai aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang tercipta.
“Saya mahu PNB dan SD Guthrie terlibat membangunkan bakat tempatan termasuk dengan pemberian latihan supaya mereka dapat menyertai aktiviti ekonomi yang dibangunkan.
“Mulai hari ini SD Guthrie harus memikirkan pelabur, jenis pelaburan, jenis pekerjaan, latihan pengkhususan dan beri keutamaan kepada anak-anak utara Perak ataupun Bagan Serai dan Nibong Tebal sedikit untuk mendapat latihan.
“Dan kalau ada institut teknologi yang berdekatan, saya akan minta supaya SD Guthrie mengambil alih institut ini dan memberikan latihan yang diperlukan oleh KIGIP,” katanya