PETALING JAYA: Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya sudah melabuhkan tirai dan gerak laku Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menarik perhatian pengunjung dan juga penonton di depan kaca televisyen.
Aktivis politik, Mohd Sayuti Omar berkata tindakan Anwar yang berjalan sepanjang dataran untuk bersalaman dan membalas lambaian orang ramai terhadapnya adalah sangat ikhlas sebagai pemimpin
“Inilah Anwar Ibrahim yang tidak mampu dibuat dan diikuti oleh pemimpin lain.
“Selepas usai sambutan hari kebangsaan dan Yang diPertuan Agong berangkat pulang beliau berjalan kaki di sepanjang Dataran Putrajaya untuk merai dan bersalaman dengan ribuan orang ramai.
“Saya dapat merasakan apa yang bergelora dalam sanubarinya bangga dan bahagia dengan sambutan orang ramai di majlis sambutan itu.
“Ini tergambar apabila satu masa beliau dan isterinya sudah menaiki kenderaan rasmi untuk beredar tetapi turun semula apabila melihat orang ramai menjerit namanya sambil mengibar jalur gemilang,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.
Sayuti menambah kemesraan, prihatin dan aksi yang lahir dari karekter dan sifat semulajadinya tidak dibuat-buat sekali gus ini menjadikan Anwar sebagai PM terpopular masa kini.