Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Rasuah Busters menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha membina asas yang kukuh untuk memerangi salah laku, penyelewengan dan memperkukuh integriti di kalangan pegawai penguat kuasa.
Ahli Pesuruhjaya EAIC, Datuk Seri Dr Yusoff Ismail berkata, kerjasama tersebut merangkumi program pendidikan yang akan dilaksanakan di pelbagai peringkat bagi mendidik masyarakat.
“Kita akan bermula dari sekolah rendah hingga sektor awam dan swasta. Kami percaya melalui program pendidikan dan kesedaran yang lebih baik, kita dapat mencapai sistem penguatkuasaan yang lebih telus dan berintegriti.
“Dengan berganding bahu bersama Rasuah Busters, EAIC komited untuk memupuk
budaya integriti dan membanteras salah laku dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Husamuddin Yaacub mengalu-alukan gabungan kerjasama daripada EAIC sebagai sebuah badan dalam usaha penting memerangi rasuah.
“Kami berharap kerjasama ini akan membantu memajukan amalan terbaik dan menyediakan platform yang kukuh untuk mencegah salah laku,” katanya.