KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah supaya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap kerabat diraja negeri itu yang didakwa menyerang orang awam.
Gesaan itu dibuat selepas laporan media yang mendakwa seorang pekerja pembinaan jalan menjadi mangsa serangan berkumpulan kerabat diraja Pahang di Kuantan pada Jun lalu.
“Saya mahu tindakan tegas dan siasatan yang adil, tanpa sebarang kompromi.
“Tiada sesiapa pun yang lebih tinggi dari undang-undang, termasuk kerabat diraja,” titah baginda di Instastory, hari ini.
Terdahulu, seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan orang didakwa menyerang seorang lelaki menggunakan senjata tajam dan pistol sehingga mendatangkan kecederaan.
Alias Awang, 44, mendakwa dia menjadi mangsa serangan berkumpulan itu di sebuah kandang kuda.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman hari ini berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula kepada timbalan pendakwa raya.
Kes disiasat bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.