Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Keseriusan dan ketegasan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam isu dakwaan serangan kerabat diraja terhadap orang awam wajar dipuji.
Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah berkata, ini kerana baginda menunjukkan contoh kepada ahli keluarga diraja bagaimana sepatutnya mereka berkelakuan.
“Seperti yang dinyatakan dengan tegas dalam kenyataan, tiada siapa yang mengatasi undang-undang, walaupun ahli keluarga diraja,” kata Raja Bahrin dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan, mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata tajam dan pistol.
Akibat serangan itu, lelaki terbabit dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, beberapa individu sudah ditahan berhubung kes terbabit dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selain beberapa saksi lain telah dipanggil untuk memberi keterangan, bagi membantu siasatan kes tersebut.
Yahaya berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.
Susulan itu, Tengku Hassanal bertitah supaya polis mengambil tindakan tegas terhadap kerabat diraja negeri itu yang didakwa menyerang orang awam.
Baginda juga memberikan komitmen bahawa istana tidak akan melindungi pihak yang terlibat dengan kegiatan jenayah dan undang-undang, termasuk kerabat.
Raja Bahrin berkata, kenyataan Tengku Hassanal itu sangat dialu-alukan dan menyegarkan.
“Tindakan baginda menyatakan pendirian itu beberapa jam selepas laporan media dibuat juga menunjukkan betapa seriusnya baginda memandang isu itu.

“Latar belakang pendidikan yang mantap serta didikan moral yang teguh telah memberikan Tengku Hassanal kebijaksanaan dan keberanian untuk menyuarakan isu-isu berkaitan kepentingan umum dan rakyat jelata.
“Ini juga mengikuti tradisi keluarga,” kata Raja Bahrin.








