Nombor plat istimewa ‘EV’ dibuka untuk bidaan

Oleh: Haikal Tajuddin

CYBERJAYA: Kerajaan melancarkan rekaan plat khas JPJePlate untuk kegunaan kenderaan tanpa pelepasan gas pencemaran atau Zero Emission Vehicle (ZEV) termasuk kenderaan elektrik (EV) baharu pada Isnin.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia strategi serampang dua mata kerajaan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan ZEV dan langkah pendigitalan.

Katanya, ia termasuk kenderaan elektrik (EV) baharu diikuti dengan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri EV.

“JPJePlate ini telah pun menetapkan piawaian baharu untuk keselamatan dan kecekapan jalan raya dengan beberapa manfaat utama iaitu keterlihatan yang ditingkatkan dengan ciri keselamatan, teknologi pintar dan penguatkuasaan.

“JPJ pada hari ini juga turut melancarkan NPI dengan tanda indeks “EV” yang akan dibuka melalui Sistem JPJeBid bermula 9 September 2024 dan berakhir pada 13 September 2024, jam 10 malam.

“Plate ini juga boleh didapati dengan harga serendah RM98 satu set, termasuklah plat hadapan, plat belakang, pelekat cermin RFID dan penghantaran standard,” jelasnya sewaktu pelancaran di Cyberjaya, hari ini.

Tambahnya, NPI “EV” itu adalah khas untuk kenderaan ZEV sahaja dan tidak boleh didaftarkan kepada kenderaan bukan ZEV dan pengguna yang tidak berminat boleh menggunakan nombor siri negeri seperti biasa sahaja.

Anda Mungkin Berminat