Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba memalsukan dokumen Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dengan menggunakan nama dan cap jabatan itu.
Menerusi kenyataan hari ini, jabatan itu telah menerima makluman daripada pihak berkuasa Turkiye mengenai pemalsuan dokumen SKV yang digunakan untuk membuat kiriman produk laut ke negara itu.
Menurutnya DSV mendapati bahawa SKV tersebut tidak dikeluarkan oleh pihaknya malah tandatangan pegawai juga telah dipalsukan bagi tujuan pengeksportan produk makanan laut ke negara berkenaan.
“Perlu dijelaskan bahawa, peruntukan kuasa di bawah Akta Binatang 1953 tidak merangkumi produk makanan laut.
“Oleh itu, DVS tidak mengeluarkan SKV bagi produk ini dan menjadi tanggungjawab pengeksportan untuk mendapatkan sijil kesihatan daripada pihak berkuasa berkaitan,” jelasnya.
Kenyataan itu berkata, DVS akan memandang serius kes berkenaan kerana pemalsuan dokumen SKV boleh memberi impak negatif kepada reputasi jabatan, negara serta hubungan perdagangan antarabangsa.
“Sekiranya, terdapat mana-mana individu yang melakukan pemalsuan atau membuat dokumen palsu, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 463 atau 464 Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya.