Oleh: Hanim Nadia
TAWAU: Seramai 21 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau dan Semporna, Sabah menerima sumbangan daripada Kementerian Pertahanan menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM).
Menerusi kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), sumbangan itu diberikan sempena siri lawatan Timbalan Menterinya, Adly Zahari ke Sabah yang bermula 8 hingga 10 September.
Dalam lawatan itu, Adly telah menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan dan lampin pakai buang kepada veteran yang uzur.
“MINDEF juga mengagihkan 500 Bakul Rahmah kepada persatuan-persatuan veteran setempat untuk diagihkan kepada veteran asnaf yang mana daerah Semporna mempunyai seramai 594 orang veteran ATM dan 174 daripadanya adalah veteran yang tidak berpencen.
“Manakala daerah Tawau mempunyai 741 orang veteran ATM dan 258 daripadanya adalah veteran yang tidak berpencen. Jumlah ini turut merangkumi jumlah keseluruhan veteran ATM di negeri Sabah iaitu seramai 8,068 orang dan 3,174 adalah veteran yang tidak berpencen,” kata Adly.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan komited dalam meningkatkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM) daripada RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun ini.
“Pada tahun ini juga, kerajaan telah meningkatkan peruntukan Bayaran Sara Hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 juta.
“Sehingga 30 Jun ini, seramai 29,331 veteran ATM telah menerima faedah menerusi peruntukan itu yang melibatkan perbelanjaan hampir RM56 juta,” katanya.
Adly berkata, inisiatif PVM telah bertindak sebagai medan untuk interaksi secara dua hala antara MINDEF dan veteran ATM.
“Ia membabitkan lima fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan, dan pemerkasaan ekonomi veteran ATM.
“PVM akan terus menjadi platform kementerian bagi menyampaikan sumbangan kebajikan dan insentif keusahawanan kepada veteran ATM memerlukan sebagai galakan memperkasakan sosioekonomi mereka,” katanya.