Mawar Rashid hadiahkan ‘Terdiam’ buat peminat

Oleh: Haikal Tajudin

SELEPAS menyepikan diri seketika, penyanyi jelita, Mawar Rashid menzahirkan rasa yang mendalam menerusi lagu terbarunya berjudul ‘Terdiam’.

Memperjuangkan kekurangan peribadi dirinya sendiri serta kesakitan emosi, ‘Terdiam’ menggambarkan kesunyian dan kesedihan, sambil mempersoalkan sama ada ia satu fasa atau apa sebenarnya kehidupan.

Lagu dan lirik yang dicipta dan ditulis oleh Amir Hasan dan Madebyartin itu membuatkan Mawar Rasyid atau nama penuh Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29 teringat kembali detik-detik kebahagiaan yang sementara dan berusaha mencari makna walaupun menghadapi cabaran.

“Secara keseluruhannya, lagu ini adalah tentang usaha untuk mencari ketenangan dan kegembiraan di tengah-tengah dilema peribadi,” ujarnya.

Dengan mendapat kepercayaan rakan industri dalam menghasilkan karya ini, Mawar turut bekerjasama dengan pelakon terkenal, Janna Nick yang berperanan sebagai pengarah muzik video.

“Saya memilih Janna kerana saya tahu akan hasil kerjanya selain bakat dan pengalaman yang ada pada dirinya. Lagipun saya sudah lama mengenalinya dan saya tahu dia mampu memberikan apa yang saya mahu,” jelasnya.

Berkongsi berkenaan pengalamannya ketika sesi penggambaran, perkara yang tidak boleh Mawar lupakan adalah ketika dia terpaksa melakukan sendiri aksi yang akhirnya memberi kesan kepada dirinya sendiri.

“Sewaktu penggambaran video muzik lagu ini, saya termuntah di hujung rakaman kerana pening gara-gara terlalu banyak aksi berpusing untuk tarian yang digunakan dalam video.

“Malah ada babak cadangan Janna yang membabitkan pembakaran bunga dan memerlukan saya bertindak dengan cepat. Saya tak akan lupakan babak itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum menceburi bidang nyanyian, anak kacukan Melayu Siam ini juga pelakon yang sering membawa watak antagonis dalam drama TV3.

Anda Mungkin Berminat