Tambang pengangkutan awam dewasa di Singapura naik 10 sen mulai 28 Disember

SINGAPURA: Majlis Pengangkutan Awam (PTC) Singapura mengumumkan kenaikan tambang sebanyak 10 sen bagi setiap pengguna pengangkutan awam dewasa mulai 28 Disember nanti.

Pengerusi PTC, Janet Ang, berkata, perjalanan dari stesen MRT Raffles Place ke Tampines akan menelan perbelanjaan sebanyak SGD2.02 (RM6.72) berbanding tambang sebelumnya iaitu SGD1.92 (RM6.39).

“Sebagai langkah menyemak tambang (FRE) 2024, ia susulan kenaikan tambang keseluruhan sebanyak 6 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan kenaikan tertinggi sebanyak 7 peratus (11 sen),” jelasnya, memetik Berita Harian negara itu.

Agensi itu turut berkata, kenaikan sekitar sepertiga adalah lebih rendah daripada 18.9 peratus peningkatan yang dibenarkan pada tahun ini.

“Baki 12.9 peratus, setelah ditolak 6 peratus daripada 18.9 peratus peningkatan yang dibenarkan itu akan dibawa ke hadapan untuk semakan.

“Daripada 18.9 peratus, 15.6 peratus itu merupakan penangguhan dari semakan pada 2023 manakala 3.3 peratus pula adalah penyesuaian bagi tahun 2024,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Tambahnya, penyesuaian itu didorong oleh perkembangan inflasi teras, gaji dengan penurunan harga tenaga berbanding pernah dicatatkan pada 2022.

Ujarnya lagi, tambang konsesi warga emas, pelajar, golongan kurang upaya dan pekerja bergaji rendah turut mengalami kenaikan sebanyak 4 sen bagi setiap perjalanan yang menggunakan kad tambang.

Bagaimanapun tiada sebarang perubahan bagi tambang yang dibayar secara tunai, pas perjalanan bulanan bagi dewasa, pas konsesi MRT/bas bulanan dan pas konsesi hibrid (bas dan MRT).

Anda Mungkin Berminat