PRK DUN Mahkota: Bekas Pemain Johor FA, ‘Coach’ Haizan Calon PN

Oleh: Hanim Nadia

KLUANG: Bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61, diumum sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengumuman dibuat Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam Majlis Pengumuman Calon PN di Bilik Gerakan Utama PN PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu Dahlia, malam tadi.

Hamzah berkata, Mohamad Haizan yang mesra disapa sebagai ‘Coach Haizan’ adalah anak jati Layang-Layang, Renggam, memiliki kelulusan Diploma Kecergasan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Coach Haizan amat dikenali dalam kalangan masyarakat daerah ini dan pernah memenangi Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam pada 2002 dan 2016 ketika bertugas sebagai pembantu sukan.

“Selain itu, beliau juga pernah mewakili Johor, termasuk untuk Piala Presiden Johor, Piala Razak Johor dan Piala Emas Raja Johor,” katanya

Dalam pada itu, Mohamad Haizan yang juga Ahli Jawatankuasa BERSATU Bahagian Kluang berterima kasih kepada Presiden BERSATU dan pucuk pimpinan kerana memilihnya menjadi calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Mahkota masing-masing pada 14 dan 24 September ini, manakala hari pengundian pula pada 28 September.

Anda Mungkin Berminat