Berjaya ‘tambat’ hati Akon, Harris Baba tidak sabar tunggu 19 November

Oleh: Haikal Tajuddin

SELEBRITI Singapura, Harris Baba teruja setelah berjaya menambat hati penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Akon bagi mengadakan konsert Akon The Superfan Tour Live in Malaysia pada 19 November depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Syarikatnya sendiri, Jeeharris Entertainment menjadi satu-satunya penganjur yang akan membawa persembahan Akon di kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.

Harris Baba atau nama sebenarnya, Khawaja Mohammad Harris Baba, 32 berkata perancangan untuk membawa masuk Akon sejak Disember tahun lalu dan dibawa sehingga ke awal tahun ini.

“Jadi, ia sememangnya mengambil masa tujuh ke lapan bulan untuk memuktamadkan tempahan bersama pengurus Akon.

“Setelah mendapat persetujuan, banyak perubahan dari segi jadual persembahan hingga akhirnya diputuskan pada November.

“Malah, artis antarabangsa pertama syarikat saya bawa adalah Akon dan sememangnya saya sangat menantikan detik-detik ini,” jelas Harris dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bapa kepada anak satu itu menjelaskan pengalamannya sebelum ini sebagai penganjur konsert Armada Band dan Ungu memberinya semangat untuk terus berkembang maju.

Untuk info, penjualan tiket bagi kedua-dua negara akan dibuka secara pra-jualan bermula 18 dan 19 September ini manakala jualan terbuka pula pada 20 September.

Anda Mungkin Berminat