Maritim Selangor kejar bot 35 minit sebelum dilanggar

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LANGAT: Dua orang wanita dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri di Pantai Tanjung Rhu, di sini pada Rabu.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil maklumat daripada Area Control Centre (ACC) Klang terdapat sebuah bot fiber mencurigakan telah dikesan bergerak laju di perairan Kuala Langat.

“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan operasi menemukan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran memecut laju dalam keadaan mencurigakan di Perairan Tanjung Rhu.

“Seterusnya, berlaku adegan kejar buru di antara bot suspek dan aset Maritim negara selama 35 minit.

“Dalam cubaan suspek melarikan diri, bot suspek dengan sengaja melanggar bot ronda Maritim Malaysia sehingga menyebabkan kerosakan pada badan bot sebelum tekong terjun ke laut bersama beberapa PATI lain dan berenang ke kawasan cetek berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kecekapan anggota bertugas, bot suspek berjaya dihentikan dan hasil pemeriksaan mendapati dua PATI wanita masing-masing berusia 28 dan 45 tahun tanpa dokumen pengenalan diri berada di atas bot.

“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua PATI di lokasi kejadian, kira-kira lebih 20 penumpang yang menggunakan perkhidmatan bot terbabit untuk pulang ke negara jiran telah melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum insiden perlanggaran berlaku.

“Bot fiber serta dua suspek terbabit telah ditahan kemudian dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor, Pelabuhan Klang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

“Kesemua suspek disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya.

Maritim Malaysia bertekad akan sentiasa memastikan keselamatan perairan negara dengan sentiasa memantau pencerobohan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat