Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengharamkan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) sekiranya benar kanak-kanak di rumah amal kendaliannya diajar cara meliwat dan diliwat.
Tegas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, pelaku perbuatan terkutuk itu perlu dikenakan hukuman paling berat.
“Jika benar ini (meliwat dan diliwat) berlaku maka kerajaan dah boleh haramkan pertubuhan ini dan hukuman yang paling berat perlu diberikan kepada si pelaku.
“Mohon kepada mana-mana yang ada maklumat ataupun berada di dalam situasi sama perkara yang menyesatkan ini untuk jangan takut maklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya melalui hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat setiap cawangan syarikat itu.

“Kita mohon juga pada pihak berkuasa untuk rempuh dan siasat di setiap cawangan mereka dan pastikan perkara ini tidak berlaku di tempat lain.
“Perkara ini bukan Islam, ini dah ajaran syaitan,” tegasnya.
Semalam media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati modus operandi songsang itu dilakukan di 20 rumah amal kendalian GISBH.
Menurutnya, mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat kanak-kanak yang lain.
Jelasnya, mangsa-mangsa memberitahu perkara berkenaan hasil risikan dan kenyataan yang diperolehi polis hasil daripada percakapan yang dirakam mangsa selain ada yang tidak sihat tidak dibenarkan mendapat rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal.
Selain daripada itu, Razarudin turut mengesahkan penggunaan objek panas sebagai tanda hukum ke atas anak-anak jagaan di pusat amal di bawah GISBH.
Setakat ini lapan kertas siasatan telah dibuka dan menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792].
Siasatan juga dibuat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.








