Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat kematian bekas pelumba GP

KANGAR: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan hingga mengakibatkan kematian bekas pelumba GP negara, Elly Idzlianizar Elias.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kematian Elly berpunca daripada kecederaan ditetak selepas terlibat dalam pergaduhan itu.

“Pihak polis turut merampas telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini, lapor Harian Metro.

Yusharifuddin turut berkata kejadian tersebut dipercayai berlaku antara pukul 9 hingga 10 malam Selasa lalu.

“Mangsa dipercayai pergi ke rumah lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, berlaku pergaduhan melibatkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk taman perumahan tersebut,” ujarnya.

Namun, ketika pihak polis tiba di lokasi kejadian, mangsa dan tiga individu lain yang terlibat dalam pergaduhan tersebut sudah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk menerima rawatan.

“Elly Idzlianizar bagaimanapun meninggal dunia sekitar 12.30 tengah malam semalam akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam,” tambahnya.

Siasatan awal polis mendapati kejadian bermula apabila mangsa yang sedang berang mencari suspek utama berusia 51 tahun di kediamannya, namun suspek tiada di rumah.

Mangsa yang kemudiannya beredar terserempak dengan suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu dan tercetuslah pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama yang berusia 31 tahun.

Difahamkan, mangsa dan suspek saling mengenali dan sering berurusan antara mereka namun tidak mempunyai apa-apa masalah antara mereka hingga mampu mencetuskan pergaduhan.

Namun, setakat ini motif dan penyebab pergaduhan masih lagi dalam siasatan pihak polis.

Anda Mungkin Berminat