PH Wilayah cadang Akta Pembaharuan Semula Bandar

PUTRAJAYA: Pentadbiran ibu kota Kuala Lumpur perlu beri keadilan buat pihak terlibat isu pengambilan tanah, kata Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan (Wilayah).

Pengerusi PH Wilayah, Tan Kok Wai berkata ia termasuk aspek pampasan yang adil bagi golongan terkesan.

“… melalui penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (Urban Renewal Act).

“Persoalan kepadatan penduduk turut dibincangkan untuk melihat nisbah kemudahan awam seperti sekolah, klinik kesihatan dan hospital berbanding jumlah penduduk bagi menjamin kehidupan yang berkualiti untuk masyarakat di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan bersama Timbalan Pengerusi 1, Khalid Abdul Samad dan Timbalan Pengerusi II, Datuk Azman Abidin.

Cadangan itu turut dikemukakan dalam pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa baru-baru ini.

Selain itu, mereka turut mengetengahkan beberapa cadangan termasuk mewujudkan satu jawatankuasa di peringkat PH Wilayah Persekutuan bagi membincangkan pelan reformasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Cadangan tersebut sebagai langkah yang boleh diambil ke arah keseragaman sistem pentadbiran DBKL berbanding Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain di negara ini.

“Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) akan menjadi teras rujukan utama bagi memastikan pematuhan prinsip-prinsip pembangunan mampan dan terancang serta sesi libat urus bersama ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tuut diadakan secara berkala untuk memastikan sudut pandang inklusif berhubung pembangunan mampan.

Secara dasarnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menghargai pandangan tersebut dalam usaha memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

Anda Mungkin Berminat