Keputusan permohonan sijil halal wajib diberi dalam tempoh 30 hari bekerja

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah supaya mempermudah prosedur permohonan dan pembaharuan sijil halal dengan keputusan wajib diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bengkel pensijilan halal wajib diadakan tiga kali setahun kepada pemohon baharu dan yang mahu memperbaharui sijil halal bagi memastikan mereka mendapat garis panduan serta mematuhi semua piawaian yang ditetapkan.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, berdasarkan laporan JAKIM, badan itu sudah melaksanakan beberapa langkah pro aktif dalam mempercepat permohonan sijil halal, namun masih ada rungutan yang mendakwa ada proses kelulusan yang memakan masa sembilan bulan dan ada yang tidak mendapat kelulusan selepas dua tahun.

“Ia harus dipermudahkan dan jangan pernah menyusahkan pemohon sijil halal. Perkara ini tidak mustahil dilakukan kerana terdapat kombinasi antara mereka yang arif dalam bidang halal, terdiri daripada pemuka agama yang diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan pengeluaran sijil halal, selain pakar seperti saintis dalam pelbagai bidang seperti makanan, kosmetik, farmaseutikal dan perkhidmatan.

“Saya sudah arahkan mana-mana permohonan wajib diberikan keputusan dalam tempoh 30 hari bekerja. Itu sebabnya pembengkelan ini penting bagi pemohon baharu atau mereka yang mahu memperbaharui lesen diberikan garis panduan.

“Ini bagi memastikan mereka dapat mengikuti semua piawaian dan tidak ada sebab ia harus dilewatkan. Jadi, harus ada keterlangsungan antara proses memperbaiki dan mempercepat pengeluaran sijil halal dengan persepsi di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Sektor Halal 2023 sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Zahid turut mahukan supaya bengkel pensijilan halal diadakan tiga kali setahun bagi menyegerakan pengeluaran sijil halal kepada pemohon baharu dan mereka yang ingin memperbaharui sijil.

Pada masa sama, beliau berkata, prosedur bagi memperolehi sijil halal juga perlu dipermudahkan supaya tidak menyusahkan pemohon dan perkara itu boleh dilakukan sekiranya terdapat kerjasama antara kumpulan agama dan pakar serta pemain industri halal.

“Kita harus keluar daripada kepompong bekerja secara silo,” katanya.

Anda Mungkin Berminat