Awie kumpul band rock imbau kegemilangan dulu-dulu

Oleh: Kamilia Ali

PENYATUAN generasi lama dan baru peminat muzik rock akan direalisasikan menerusi ‘Rock Warrior Music Festival’ pada 23 dan 24 November nanti.

Menghimpunkan band rock tanah air dalam satu persembahan yang bertenaga dan penuh nostalgia seperti Wings, Search (Kid & Din) dan XPDC, mereka akan mempersembahkan lagu-lagu hit dari era kegemilangan rock sehingga kini.

Menjanjikan pengalaman muzik yang tiada tandingan kepada semua peminat rock, penganjurnya Rumah Produksi Merah, milik legenda rock tanah air, Datuk Awie, 55 akan diadakan di KL Base, Sungai Besi.

“Saya percaya festival ini akan menjadi titik sentral yang mencorakkan semangat kesatuan dalam kalangan peminat muzik, sama ada mereka adalah golongan lama yang sudah lama menggemari genre rock atau golongan baharu yang baru bersuara dalam dunia muzik ini.

“Platform unik ini memberi peluang kepada kumpulan rock baharu untuk beraksi, mengagumkan penonton, serta memperkenalkan lagu dan karya original mereka kepada dunia.

“Dengan adanya penekanan yang diberikan oleh festival ini terhadap kepelbagaian bakat dalam kalangan penyampai lagu rock, ia memperlihatkan komitmen sebenar pihak penganjur dalam mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam industri muzik tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September lalu dengan harga tiket untuk dua hari iaitu Gold (seated) RM250, Silver (standing) RM200 dan Bronze (standing) RM150.

Anda Mungkin Berminat