Dunia Kekurangan Penawar Bisa Ular – WHO

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa penawar bisa ular semakin terhad apabila kes patukan ular yang membunuh puluhan ribu orang setiap tahun kini semakin buruk akibat banjir yang disebabkan oleh perubahan iklim di banyak negara.

Lapor AFP, menurut WHO, terdapat antara 1.8 dan 2.7 juta kes keracunan akibat dipatuk ular setiap tahun yang mengakibatkan 138,000 kematian.

Namun, jumlah itu kian bertambah akibat banjir yang turut meningkatkan pertembungan manusia dengan haiwan berbisa itu, terutama di negara yang mempunyai akses terhad kepada ‘antivenom’ atau penawar bisa.

Pakar Patukan Ular daripada WHO, David Williams berkata, seorang maut akibat dipatuk ular setiap empat hingga enam minit di seluruh dunia.

“Seramai 240,000 mangsa yang dipatuk ular pada setiap tahun mengalami kecacatan kekal,” katanya.

Dalam pada itu, bisa ular boleh menyebabkan manusia lumpuh, menghentikan pernafasan, ganggu pembekuan darah sehingga mengakibatkan maut, kerosakan buah pinggang yang tidak dapat dipulihkan dan kerosakan tisu yang boleh menyebabkan kecacatan kekal serta kehilangan anggota badan.

Kebanyakan mangsa patukan ular tinggal di kawasan tropika dan negara miskin di dunia. Mangsa dalam kalangan kanak-kanak lebih terkesan kerana saiz badan mereka yang lebih kecil.

Williams menegaskan bahawa kecacatan yang disebabkan oleh patukan ular bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa, malah turut memberi kesan kepada seluruh keluarga mangsa kerana terpaksa mendapatkan rawatan yang memerlukan kos tinggi.

Paling membimbangkan adalah beberapa kawasan di dunia yang tidak mempunyai tempat rawatan mencukupi atau selamat selain tiada akses kepada penawar bisa.

Sebagai contoh, Sub-Sahara Afrika hanya mempunyai akses kepada sekitar 2.5 peratus daripada rawatan yang dianggarkan diperlukan.

WHO turut menjelaskan, pada 2019, pengeluaran penawar bisa yang menyelamatkan nyawa telah dihentikan oleh beberapa syarikat sejak 1980-an, menyebabkan kekurangan ketara bekalan penawar bisa di Afrika dan beberapa negara Asia.

Jelas William, India antara negara yang paling terjejas di dunia dengan anggaran 58,000 orang maut setiap tahun akibat patukan ular, manakala Bangladesh dan Pakistan turut terjejas akibat masalah sama.

Katanya, kesan perubahan iklim memburukkan lagi keadaan di beberapa tempat dan bencana banjir telah meningkatkan jumlah kes patukan ular pada manusia.

WHO turut memberi amaran bahawa perubahan iklim boleh menyebabkan perubahan dalam taburan dan pertambahan ular berbisa di negara-negara yang sebelum ini belum pernah mengalami bahaya berkenaan.

Anda Mungkin Berminat