Oleh: Syahirah Harish
KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak melupuskan barang kes dadah dan racun dianggarkan bernilai RM2.6 juta pada Khamis.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, dadah dan racun tersebut dilupuskan menggunakan kaedah Loji Rawatan Termal (Insinerator) di Kuching Integrated Waste Management Park (Trienekens).
Menurutnya, pelupusan barang kes ini dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 406A dan 407 Kanun Prosedur Jenayah.
“Pelupusan barang kes ini melibatkan 7,478 kes tahun 2017 hingga 2024 yang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 yang telah selesai siasatan dan perbicaraan mahkamah di 20 daerah di Sarawak.
“Nilai keseluruhan barang kes tersebut berjumlah sekitar RM2,643,089,” katanya.
Tambahnya barang kes yang dimusnahkan ialah serbuk ekstasi (23,168.66 gram); syabu (17,131.03 gram); ganja (12,293.46 gram); daun ketum (8,500 gram); pil erimin 5 (2,421.01 gram); pil nospan (1,982.64 gram); ketamin (724.95 gram); pil ekstasi (132.38 gram); air ketum (85.70 liter) dan botol urin (6,585 botol).
“JSJN bertekad memerangi habis-habisan dadah musuh negara dan berharap masyarakat akan dapat terus memberi kerjasama,” ujarnya.
Katanya, apa-apa maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh disalurkan terus ke talian hotline JSJN di talian 012-2087222.