Oleh: Kamilia Ali
ALOR SETAR: Gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Kedah disebabkan oleh Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang Fasa 1 yang terpaksa dihentikan tugas berikutan peningkatan air sungai ke paras kritikal di muka sauk.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), gangguan bekalan air tidak berjadual tersebut berlaku kerana hujan berterusan sejak beberapa hari lalu sehingga melibatkan kira-kira 35,000 akaun pengguna terjejas.
“Jangkaan untuk LRA Bukit Pinang beroperasi semula masih belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan paras air masih lagi pada paras kritikal sekali gus menenggelamkan aset-aset mekanikal dan elektrikal di LRA tersebut.
“Selain insiden banjir, beberapa LRA lain juga berisiko terkesan dengan isu kerosakan sistem elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut mengalami kerosakan akibat bencana ribut taufan dan pokok tumbang,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu lagi, antara kawasan yang terjejas adalah Pekan Alor Setar, Mergong, Mentaloon, Hutan Kampung, Tanjung Musang, Bukit Pinang, Kepala Batas, Tok Jalai dan lain-lain.
Oleh itu, bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas, tindakan segera menerusi penghantaran lori tangki air dan penempatan tangki statik di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sedang dilaksanakan pada masa ini selaras dengan kehendak peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 54(3), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari masa ke masa menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my atau hubungi i-SADA di talian 1300-88-0017.
Terdahulu, beberapa daerah di Kedah dilanda banjir kilat sejak 16 September lalu gara-gara hujan lebat yang melanda Gurun, Jitra, Changlun dan Kubang Pasu.
Setakat tengah hari ini, jumlah mangsa yang terlibat adalah seramai 3,730 orang dan sebanyak 29 Pusat Perlindungan Sementara (PPS) dibuka.